Tuesday, June 15, 2010

Istana Maziah - Kemegahan Institusi Kesultanan Terengganu


Sumber Photo Istana Maziah Lama : http://ms.wikipedia.org/wiki/Fail:Maziahcopy.gif


Jika anda pernah berkunjung ke Pasar Payang, tentu anda akan dapat melihat satu Istana yang tersegam Indah bersebelahan dengan Bukit Puteri. Istana Maziah adalah merupakan lambang kemegahan institusi Kesultanan Terengganu. Kedudukannya kira-kira 220 meter dengan gigi air sungai Kuala Terengganu.  Istana Maziah juga merupakan Istana untuk upacara rasmi negeri yang diadakan seperti istiadat pertabalan dan kemahkotaan Sultan Terengganu, berkhatan, bertindik, perkahwinan dan sambutan tetamu utama negeri.

Setakat ini terdapat percanggahan mengenai tarikh pembinaan Istana Maziah. Mengikut catatan Engku Pengiran Anum, batu asas pembinaan istana ini dimulakan pada hari Jumaat, pukul 10:00 pagi, 31 Mei 1895 ( 7 Zulhijjah 1312 ) di masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III ( 1881-1918 ). Manakala catatan Dato’ Seri Amar Diraja Haji Ngah Muhammad bin Yusof pula, istana ini dibina pada tahun 1897.

Istana Maziah dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang telah hangus terbakar. Istana Hijau dibina pada masa pemerintahan Sultan Omar ( Baginda Omar ) pada 10 Mac 1870 ( 7 Zulhijjah 1286 ). Tokoh yang diberi tanggungjawab sebagai pengurus pembinaan dan jurutera Istana Maziah ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil.

Dia adalah saudara ipar kepada Sultan Zainal Abidin III. Selain daripada itu terdapat beberapa tokoh lagi yang turut sama menyumbang dalam pembinaan istana ini. Mereka yang bertanggungjawab menyiapkan pelan dan binaan istana serta menghias bahagian dalaman istana ialah Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah bin Zin Al-Idrus, Encik Muhammad bin Abdul Rahim ( lebih dikenali dengan nama Encik Mat ) dan juga Dato’ Mata-Mata. Di samping itu tugas mendapatkan kayu, kebanyakannya dari Dungun diuruskan oleh Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik. Manakala pengurusan batu bata dan kapur pula diserahkan kepada Tengku Besar Paduka Indera. Bahan yang digunakan dalam pembinaan istana ini terdiri daripada campuran kapur, tanah liat, pasir garam, putih telur dan manisan.




 





Bahan Pembuatan : Campuran Kapur, Tanah Liat, Pasir Garam, Putih Telur dan Manisan
Status : Istana Istiadat / Upacara Rasmi
Mula Pembinaan : Jumaat, pukul 10:00 pagi, 31 Mei 1895






Kedudukan : Bandar Kuala Terengganu , Berhampiran Pasar Payang
Tarikan Berdekatan : Pasar Payang, Taman Shahbandar, Bukit Puteri
Pengangkutan : Bas Cas Ligas, Teksi (Jika berada disekitar Kuala Terengganu)
Maklumat Lanjut : Pejabat Tourism Malaysia Terengganu, Phone: +609 - 630 9433 / 9093

No comments:

Post a Comment