Berita Harian : Pelita Minyak gamit nostagia Aidilfitri
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my2010/09/09
MUHAMMAD Ramli turut membantu memasang pelita di
Kampung Padang Hangus, Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU: Membelanjakan lebih RM120 sehari untuk minyak pelita bukan peruntukan yang sedikit. Namun, bagi Ismail Sulong, 68, dia tidak kisah terpaksa mengeluarkan wang sebanyak itu kerana baginya pelita menyimpan makna, memberi simbolik dan menggamit nostalgia menjelang sambutan hari raya.
Dia yang juga juara bertahan selama sembilan tahun berturut-turut Pertandingan Pelita Raya, berkata dia memerlukan perbelanjaan besar untuk menyalakan hampir 700 sumbu pelita diperbuat daripada pelbagai bahan terbuang yang diolah menyerupai bentuk masjid serta Menara Kuala Lumpur.
Sekurang-kurangnya 48 liter minyak menyalakan pelita setiap malam. Sebahagiannya saya guna minyak diesel dan ada juga pelita yang menggunakan minyak masak iaitu minyak bekas menggoreng ikan.
"Setiap pelita boleh bertahan hingga tiga jam sebelum minyaknya habis. Untuk menyalakan pelita di tempat tinggi, saya sediakan galah khas yang dilengkapi pencucuh api tanpa perlu menggunakan tangga," kata pekerja kilang padi itu.
Dia ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh ke Kampung Padang Hangus dan Kampung Pagar Ubi, yang meninjau persiapan peserta yang menyertai pertandingan itu.
Seramai 194 peserta daripada lima kampung mengambil bahagian iaitu Kampung Padang Hangus; Kampung Raja Tepuh; Kampung Baru; Kampung Pagar Ubi dan Kampung Tokeng dalam kawasan DUN Tepoh.
Bagi Maseling Osman, 52, masalah kesihatannya tidak menjadi halangan untuknya menyertai dan mewarnai keliling rumahnya di Kampung Padang Hangus dengan nyalaan pelita.
Dia yang menghidap kencing manis hingga terpaksa menggunakan kerusi roda berkata, dengan bantuan anak dan isteri, dia berjaya membina gerbang pelita diilhamkan daripada pentas astaka pertandingan tilawah al-Quran menggunakan lebih 700 sumbu pelita.
Sementara itu, Muhammad Ramli berkata, pertandingan itu diharap dapat menimbulkan minat dan semangat masyarakat khususnya generasi muda dalam memahami tradisi zaman silam yang menjadi antara corak serta budaya kehidupan.
"Alhamdulillah, hasrat penganjur untuk melihat 10,000 pelita dinyalakan pada pertandingan ini mendapat sambutan luar jangkaan hingga berjaya memperlihatkan lebih 20,000 pelita dinyalakan,” katanya.
Sumber Berita: Berita Harian (09/09/2010)
Utusan Malaysia : Pertandingan pelita raya
KUALA TERENGGANU 18 Sept. - Pertandingan Pelita Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mampu menjadi produk pelancongan baru selain diketengahkan sebagai ikon warisan negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhamad Ramli Nuh berkata, ia berdasarkan keistimewaan DUN tersebut yang sinonim dengan pertandingan pelita raya apabila tradisi lama yang dihidupkan kembali itu mendapat sambutan pada setiap kali Ramadan.
"Sejak program ini diberi perhatian serius oleh kerajaan, ia telah menampakkan kemajuan dalam memartabatkan warisan seni budaya," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya di Kampung Seberang Tepoh di sini hari ini. Pertandingan yang dianjurkan oleh Muzium Terengganu, Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri dan Pejabat ADUN Tepoh turut dihadiri Pengarah Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah.
Muhamad Ramli berkata, pertandingan pada mulanya tertumpu di Kampung Padang Hangus sejak sembilan tahun lalu bakal diketengahkan sebagai produk pelancongan yang mampu mencipta nama tersendiri."Kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan serta Muzium Negeri Terengganu akan memastikan tanggungjawab untuk memartabatkan warisan ini. Ia bukan untuk pertandingan semata-mata sebaliknya bagi menghidupkan tradisi lama untuk tatapan generasi baru.
Sumber Berita : Utusan Malaysia (19/09/2010)
Related Articles :
MUHAMMAD Ramli turut membantu memasang pelita di
Kampung Padang Hangus, Kuala Terengganu.
0 comments:
Post a Comment