Wednesday, June 30, 2010

Perusahaan Batik Dan Tembaga WANISMA - Kg Ladang



Sebenarnya saya berasal dari Kampung Ladang. Kampung Ladang ini merupakan kampung  yang begitu kaya dengan perusahaan tradisi. Terdapat beberapa tempat penghasilan bahan kraftangan warisan. Umpamanya, Perkampungan Keris, Pembuatan Sarung Keris, Perusahaan Tembaga dan batik Wanisma, Pembuatan Tradisi Bidai Kayu, Pembuatan Tekap Chop Batik serta banyak lagi. Yang uniknya ialah Kampung Ladang ini terletak ditengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu.
















Hari ini, saya cuma nak mengutarakan Perusahaan Tembaga dan Batik WANISMA Kampung Ladang. Anda boleh melihat sendiri bagaimana kraftangan tembaga dan batik dihasilkan. Ini kerana Pusat Jualannya hanya bersebelahaan dengan tempat pembuatan kraftangan tembaga dan batik. Jom kita baca artikel yang saya ambil dari Utusan Malaysia Online mengenai WANISMA...



Wan Mahadi 'tembaga' penerus warisan

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD


KUALA TERENGGANU 14 April - Sanggupkah anda berpanas bara api sehingga mencapai 1,300 darjah celcius. Sama ada sanggup atau tidak, inilah kehidupan yang terpaksa dilalui oleh Wan Mahadi Wan Ismail (gambar), 45, sejak membabitkan diri dalam industri pembuatan tembaga di Kampung Ladang di sini, hampir 20 tahun lalu.

Beliau terpaksa melakukan pekerjaan ini demi mencari nafkah selain mengekalkan produk warisan tembaga yang kian pupus. Setiap hari, Wan Mahadi terpaksa bermain dengan bara api dengan menuang tembaga cair dalam panas bara api sebelum dituang dalam acuan yang diperbuat daripada campuran tanah liat dan pasir.

Kerja-kerja menuang tembaga ini menjadi satu syarat utama dalam proses pembuatan tembaga yang diusahakan secara tradisi di kampung tersebut sejak 500 tahun lampau. Campuran tanah liat dan pasir itu dibentuk dengan penuh kemahiran bagi menyalut acuan lilin. Selepas siap dibentuk, acuan tanah liat melalui lubang yang disediakan meninggalkan ruang-ruang kosong di dalamnya.

Tembaga cair yang panas kemudiannya, dituang ke dalam acuan tanah liat bagi mengambil tempat lilin. Apabila sejuk, acuan tanah liat itu dipecahkan dan barangan tembaga yang masih kasar dicanai, dilarik dan digilap dengan mesin sebelum dijual. Demikian kehidupan yang dilalui oleh pengusaha tembaga, Wan Mahadi yang kini mengusahakan tembaga di Kampung Ladang, sebuah perkampungan tradisional yang terletak di tengah bandar raya Kuala Terengganu.



Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebilangan penduduk di Kampung Ladang dan beberapa buah kampung berhampiran amat tekun menghasilkan pelbagai produk tembaga sama ada yang digunakan dalam pelbagai adat mahupun kehidupan seharian. Wan Mahadi adalah pemilik syarikat Wanisma Craft & Trading dan merupakan seorang daripada 18 pengusaha pembuatan tembaga secara tradisional di Kampung Ladang.

Ia juga menjadi keunikan penduduk Kampung Ladang yang masih mengekalkan industri tembaga di bengkel halaman rumah sehingga menjadikan satu pemandangan biasa bagi sesiapa berkunjung ke Kampung Ladang yang kini dihimpit pembangunan.

Wan Mahadi mewarisi pembuatan tembaga daripada ayahnya, Wan Ismail Wan Idris yang juga pengusaha tembaga terkenal. Darah seni yang mengalir dalam jiwa Wan Ismail mengalir bukan sahaja daripada ayahnya malah ibunya, Nik Rakna Nik Embong yang merupakan pengusaha batik yang tersohor di Terengganu pada tahun 60-an.

Menurut Wan Mahadi, sehingga sekarang terdapat sekurang-kurangnya 17 pengusaha mengusahakan tembaga. Sembilan daripada pengusaha itu terdapat di Kampung Ladang Tok Pelam, tiga di Kampung Ladang Paya dan lima lagi di Ladang Sehat.

Katanya, menurut cerita dari mulut ke mulut sejarah perusahaan tembaga di Kampung Ladang dikatakan bermula hampir 500 tahun lampau.

''Ia merupakan satu pekerjaan utama penduduk di sini, yang mewarisi pekerjaan tradisi itu daripada datuk nenek moyang sejak zaman berzaman," katanya ketika ditemui di bengkel pembuatan tembaga Kampung Ladang di sini, baru-baru ini.

Persoalannya di sini, kenapa Kampung Ladang menjadi tumpuan pengusaha tembaga walhal kawasan lain tidak sedemikian?

Menurut Wan Mahadi lagi, sebahagian besar daripada mereka datang dari daerah lain termasuk Pattani dan Yunan memulakan industri tembaga di sini, kerana Kampung Ladang terletak berhampiran muka kuala Sungai Terengganu yang menjadi pelabuhan utama pada zaman silam.

Katanya, dengan kedudukan di muara sungai memudahkan mereka mendapatkan bahan mentah seperti tembaga dan menjual kepada pedagang asing. Selain itu, menurut cerita lisan ayahnya yang juga pengusaha tembaga pada asalnya tukang logam termasuk tembaga dan perak, beroperasi di istana.

Katanya, kebetulan pula Kampung Ladang terletak berhampiran Istana Maziah, justeru memudahkan mereka berkhidmat dengan membuat peralatan yang diperlukan oleh istana dan telah mengehadkan segala perkembangannya ke daerah-daerah luar. ''Pengetahuan dan kemahiran dimiliki hanya dicurahkan kepada orang-orang tertentu sahaja, khasnya kaum keluarga agar kemahiran terus diwarisi daripada satu generasi ke generasi yang lain dan terus hidup hingga sekarang.

''Perusahaan ini diusahakan di bawah rumah dan di sekitarnya. Ia adalah warisan daripada satu generasi ke generasi yang lain iaitu dari datuk, ayah dan anak," katanya lagi. Wan Mahadi menambah pada zaman pemerintahan Kesultanan Terengganu (Sultan Zainal Abidin) kerajaan negeri Terengganu ada menjalin hubungan kerjasama dengan kerajaan Siam dan ufti adalah cenderahati.

Pada sekitar tahun 1980-an, terdapat kira-kira 150 pengusaha yang membabitkan diri dalam industri ini, dengan kira-kira 95 peratus daripada mereka mengusahakan secara sepenuh masa.


Petikan Utusan Malaysia Online : 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_05.htm



- Masa Lawatan dan Jualan : 8.30 - 5.00 petang
- Tempat Menarik Berdekatan : Taman Shahbandar, Pantai Batu Burok
- Hotel : Sumai, Primula Park Royal, Ming Hotel
- Makan minum : Kedai makanan : Deretan Kedai berdekatan

Maklumat Lanjut :

Perusahaan Batik Dan Tembaga
Telefon dan Fax : 09 6223311

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 comments:

Post a Comment

Sertai Kami dan Sokonglah Blog ini...

Kemudahaan Maklumat Di Blog Truly Terengganu

:: Blog ini menyediakaan kemudaan Direktori setiap daerah bagi kemudahaan penginapan dan makan minum
:: 95 % Maklumat Perlancongan dan tempat adalah hasil dari lawatan penulis blog sendiri
:: Terdapat Kalender Pelancongan bagi memudahkan Pelawat membuat perancangan pelancongan
:: Ada kemudahaan akses maklumat tempat yang menarik bagi setiap daerah melalui akses 'Menarik di Daerah ..'
:: Peta Interktif Pelancongan Bagi semua Tempat Popular di Terengganu(Iksan Tourism Terenggganu)
 



Sumber Peta : Tourism Terengganu

Truly Terengganu Copyright © 2010 LKart Theme is Designed by Lasantha